SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemandu lori yang merempuh 11 kenderaan di persimpangan Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Jumaat dipercayai positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati positif dadah berkenaan.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang ketika lori berkenaan menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam.Menurutnya, pemandu lori itu mendakwa mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan, terbabas ke arah bertentangan dan melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat."Kemalangan itu melibatkan 12 kenderaan termasuk lori berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah lori merempuh beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman di sini menerusi satu video tular pada Jumaat.Menerusi hantaran satu rakaman tular memaklumkan kejadian terbabit berlaku dengan pantas ketika lori dipercayai dari arah Shah Alam itu meluru ke laluan bertentangan.Selain itu, menerusi beberapa rakaman video tular turut memaparkan lori terbabit dipercayai dalam keadaan menuruni bukit sebelum merempuh beberapa kenderaan di lokasi kejadian.Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru XV mengalami kecederaan parah di bahagian kepala."Mangsa kini dirawat di zon merah Hospital UiTM Puncak Alam."Isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu lelaki mereka berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama juga dirawat di hospital berkenaan dan dilaporkan stabil," katanya.Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi mengalami kecederaan pada badan dan berada dalam keadaan stabil.Sarudin berkata, ujian pernafasan bagi mengesan alkohol serta ujian air kencing turut dijalankan terhadap pemandu lori terbabit."Keputusan ujian air kencing mendapati lelaki itu positif amphetamine dan methamphetamine," katanya.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping, menerusi talian 012-286 3875 bagi membantu siasatan," katanya.