SHAH ALAM – Masalah brek ketika menuruni bukit menjadi punca sebuah lori melawan arus sehingga merempuh 11 buah kenderaan dalam kejadian di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari di sini, semalam.
Lebih mengejutkan, pemandu lori berusia 51 tahun itu didapati positif amphetamine dan methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, empat individu berusia 17 hingga 58 tahun cedera, termasuk seorang lelaki yang parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, kemalangan berlaku ketika lori berkenaan menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam.








