KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak lagi mahu dilihat sebagai 'pembina jalan' semata-mata, sebaliknya menegaskan komitmen untuk membina infrastruktur negara yang berteknologi tinggi, mampan dan selamat demi kesejahteraan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pendekatan berasaskan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) amat penting dalam era digital bagi memastikan perancangan, pengurusan dan penyelenggaraan jalan Persekutuan mahupun negeri dilakukan secara berkesan.

Katanya, integrasi teknologi digital seperti AI dan teknologi Internet kebendaan (IoT) kini menjadi keperluan mendasar kementerian dalam memantau dan mengurus rangkaian jalan raya secara masa nyata.