AGENSI

Texas: Seorang lelaki berusia 60 tahun ditahan selepas didakwa sengaja memandu Chevrolet Equinox merempuh masuk ke sebuah pasar raya Kroger yang ditutup, hanya kerana mahu menggunakan tandas, lapor Men's Journal.

Kejadian berlaku jam 4.28 pagi pada 27 September lalu di pasar raya Kroger di pusat beli-belah Brazos Town Center II, kira-kira 56 kilometer barat daya Houston, Texas.

Ketika itu, pasar raya berkenaan masih ditutup dan pintunya berkunci, namun keadaan itu tidak menghalang lelaki terbabit yang didakwa berang sebelum memecut kenderaannya ke arah pintu masuk bahagian farmasi.

Menurut Jabatan Polis Rosenberg, rempuhan itu menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan menembusi pintu kaca automatik dan terus masuk ke dalam premis.