GEORGE TOWN – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap dua lelaki dalam kejadian yang berlaku pada Ogos lalu.Tertuduh, K Arul Kevin, 20, V Vishnu, 24, dan P Kuhan, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen 1, di sini pada Jumaat.Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Saw Jing Bing, 25, menggunakan sebilah parang yang boleh mendatangkan kecederaan serius.Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Ming Cawangan 2 pada jam 2.45 pagi, 25 Ogos lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.Anuarul memohon jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 haribulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mangsa atau saksi."Kesemua tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen 2 yang melibatkan mangsa berbeza."Saya mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi kerana kedua-dua kes melibatkan mangsa yang mengalami kecederaan parah," katanya.Bagaimanapun, Mahendran memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan semua anak guamnya berpendapatan rendah serta mempunyai tanggungan keluarga.Menurut beliau, Arul Kevin bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan dan menanggung ibunya yang menghidap penyakit jantung.Katanya, Vishnu bekerja sebagai juruelektrik dengan pendapatan RM1,500 sebulan manakala Kuhan merupakan pemandu lori dengan pendapatan bulanan RM1,500.Mahendran turut memaklumkan bahawa ketiga-tiga tertuduh menyerah diri kepada pihak polis dan bukannya ditangkap."Jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan terlalu tinggi dan tidak munasabah memandangkan tiada bukti mereka akan melarikan diri."Selain itu, penjamin bagi ketiga-tiga tertuduh turut hadir di mahkamah dan mereka merupakan penduduk tetap Pulau Pinang yang bersedia mematuhi semua syarat ditetapkan," katanya.Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan serta mengekalkan semua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 2, ketiga-tiga tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki, Lim Xiao Tian, 17.Mereka didakwa melakukan kesalahan yang sama menggunakan parang di lokasi, tarikh dan masa yang sama.Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang sama.Mahendran sekali lagi memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan yang sama seperti dikemukakan di Mahkamah Sesyen 1.Hakim Irwan Suainbon kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta membenarkan semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.Mahkamah menetapkan 6 November depan untuk serahan dokumen.Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga remaja bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan bersenjata yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Air Itam pada Ogos lalu.Semua suspek yang berusia antara 16 hingga 33 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang.
Tiga lelaki mengaku tidak bersalah cederakan 2 mangsa guna parang
Story details
- Published
- By
- SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
3 stories on this topic from 3 sources, oldest first.
- Sinar Harian Tiga lelaki mengaku tidak bersalah cederakan 2 mangsa guna parang (this story)





