KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.
Beliau berkata perkara itu antara dibincangkan sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil 3/2026 bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara hari ini.
"Turut dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).








