BATU PAHAT – Tindakan ganas seorang buruh sawit mengugut dan mengejar isterinya dengan parang selepas menuduh wanita berkenaan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain membawa padah apabila dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad Fairus Mohamed, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya yang berusia 37 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya menggunakan parang di sebuah rumah di Senggarang, dekat sini, pada pukul 8.30 pagi, 18 Oktober lalu.









