BATU PAHAT: Seorang buruh ladang kelapa sawit yang mengugut dan mengejar isterinya dengan parang selepas menuduh wanita itu menjalin hubungan dengan lelaki lain dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Fairus Mohamed, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah, selain mengambil kira rayuan serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, dia yang mempunyai tiga anak didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya yang berusia 37 tahun menggunakan parang di sebuah rumah di Senggarang, di sini, jam 8.30 pagi, 18 Oktober lalu.