Batu Pahat: Anggota polis berpangkat lans koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan gagal hadir bertugas selama 26 hari berturut-turut tanpa sebab munasabah.

Tertuduh, Milven Jainis, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan, Milven didakwa gagal hadir bertugas dari 1 hingga 26 September lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 86(1) Akta Polis 1967 (Akta 344) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.