BUTTERWORTH: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyamun rantai leher emas milik seorang wanita warga Myanmar, minggu lepas.
Tertuduh, Muhammad Fitri Suwaidi, 26, yang berstatus ditahan kerja ketika kejadian membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyamun rantai leher emas milik wanita terbabit sehingga menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan di hadapan sebuah rumah bernombor 344, Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya di sini, kira-kira pukul 4 petang, 16 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, dia boleh dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.










