KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyuarakan kekecewaan terhadap prestasi aplikasi navigasi tempatan, TuJu sambil mempersoalkan kesediaannya untuk bertindak sebagai alternatif kepada Waze.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, berkata beliau sendiri memuat turun aplikasi berkenaan, namun mendapati prestasinya tidak memuaskan, manakala orang ramai turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelbagai kekurangan yang ada.
Beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, susulan keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi.
"Saya sendiri sudah muat turun aplikasi TuJu, tetapi sejujurnya ia agak mengecewakan. Kita juga melihat maklum balas masyarakat yang menyatakan aplikasi ini masih belum cukup bersedia untuk digunakan pada masa ini," katanya.








