PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh, mengagumi kerjasama seni terjalin sekian lama antara komposer dan pemuzik, Aubrey Suwito dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sejak hampir tiga dekad lalu.

Noh, 41, berasa bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan dua figura muzik berpengalaman itu, meskipun ada kalanya rendah diri apabila diberi kesempatan itu.

Tambah Noh, Aubrey menghubunginya untuk mengundang dia membuat persembahan pada konsert bakal berlangsung, sekali gus menganggap pelawaan itu sebagai suatu penghormatan besar dalam perjalanan seninya.

"Apabila Aubrey menghubungi saya untuk menyertai konsert ini, ia antara penghormatan terbesar pernah saya terima," katanya pada sidang media pengumuman Konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra di sini, kelmarin.