IPOH: Pemilik bengkel lori didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas lapan pertuduhan gagal membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penalti berjumlah RM271,875.

Look Pek Kong, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Dia didakwa gagal membayar GST bagi lapan tempoh bercukai antara 1 April 2016 hingga 30 Jun 2018 di Jabatan Kastam Perak. Jumlah GST tertunggak ialah RM226,040, manakala penalti yang dikenakan berjumlah RM45,835.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan, jika sabit kesalahan.