IPOH: Seorang pemilik bengkel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan gagal membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penalti berjumlah lebih RM271,000 bagi tempoh bercukai dari April 2016 hingga Jun 2018.
Look Pek Ko, 48, selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan satu hingga lapan, lelaki itu didakwa gagal membayar cukai barang dan perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan RM271,875.33 yang genap masa dan kena dibayar bagi tempoh bercukai dari 1 April 2016 hingga 30 Jun 2018 seperti ditetapkan Ketua Pengarah Kastam.
Kesalahan tersebut dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dan pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan Akta yang sama.










