KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, sebaliknya cukup sekadar meletakkan calon di 18 hingga 21 kerusi.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata PH mempunyai potensi di 18 kerusi mengambil kira aspek kekuatan jentera, keupayaan calon dan penerimaan pengundi di sesuatu kawasan.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, hasrat PH Melaka bagaimanapun hanya akan dimuktamadkan melalui mesyuarat Majlis Presiden PH, esok sebelum diumumkan Sabtu ini.

"Saya tak fikir PH akan bertanding semua kerusi. Daripada awal kita sudah tahu kita tidak akan bertanding 28 kerusi, sebaliknya memberi tumpuan pada kerusi yang kita ada kekuatan berdasarkan tiga faktor tadi.