TAWAU: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini memerintahkan seorang pegawai Jabatan Imigresen dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 17 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,250 tiga tahun lalu.

Hakim Andi Razalijaya A Dadi membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Katika Dewiana Bacho, 40, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan perbicaraan terhadap tertuduh pada prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan.

Dalam keputusannya, Andi Razalijaya berkata, selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati terdapat alasan mencukupi untuk membenarkan pihak pendakwaan tidak meneruskan perbicaraan berkenaan pada peringkat ini.

Sehubungan itu, mahkamah memberikan kebenaran kepada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah.