PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh menyimpan hasrat untuk mengundang Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkolaborasi dalam konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Bagaimanapun, Noh atau Mohammad Noh Salleh, 41, mengakui berasa gementar untuk mengundang penyanyi nombor satu negara itu, malah menyifatkan dirinya belum tentu layak bergandingan dengan figura besar industri muzik berkenaan.
“Apa-apa pun, jemputan pertama kami akan ditujukan kepada Siti Nurhaliza dahulu. Kami akan bertanya kepada Kak Rozi (pengurus Siti), sama ada dia mempunyai kelapangan.
“Walaupun kami sedar mungkin kedudukan kami ini tidak layak untuk membawanya ke pentas kami, atas dasar budi bahasa dan penghormatan, dia harus ditanya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada sesi bersama media di Icon City, di sini, semalam.









