Kuala Lumpur: Kerajaan berjaya menumpaskan penyeludupan barangan terkawal bernilai lebih RM72 juta menerusi Operasi Tiris Bersepadu (Ops Tiris) 4.0, antara 16 Mac lalu hingga kelmarin.
Ia membabitkan 514 tangkapan dan rampasan barang terkawal dengan nilai keseluruhan RM59.9 juta yang ditumpaskan melalui jalan darat, manakala 275 kes lagi dengan nilai rampasan bernilai RM12.29 juta di perairan negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sebanyak 23 kes sudah didakwa di mahkamah, manakala 248 kes lagi dikompaun, antara 16 Mac hingga 14 Oktober lalu, manakala bakinya masih dalam siasatan.
Selain itu, katanya, nilai keseluruhan denda dikenakan pula ialah RM290,000, manakala jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM950,900 dikeluarkan melalui 125,690 pemeriksaan yang dibuat sepanjang tempoh berkenaan.










