KUALA LUMPUR – Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu tentang hibah berhubung nilai tiga hartanah pelaburan bernilai RM3.3 bilion, lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, 63, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah, 70, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menipu Ahli-Ahli Lembaga Pengarah TH dengan menyedia serta membentangkan kertas kerja mengandungi cadangan pelarasan semula nilai hartanah pelaburan.

Kertas kerja itu bertujan meningkatkan jumlah keuntungan dalam Laporan Kewangan Belum Disatukan TH bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 untuk pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion sedangkan nilai hartanah terbabit sepatutnya dinilai pada harga pasaran lebih rendah.