Kuala Lumpur: Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu Ahli Lembaga Pengarah agensi itu berhubung pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion bagi tahun kewangan 2017.
Bekas Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, 63, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah, 70, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan bersama dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memperdaya Ahli Lembaga Pengarah TH dengan mendorong mereka meluluskan penilaian semula hartanah pelaburan organisasi berkenaan yang dilambungkan nilainya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menyediakan dan membentangkan kertas kerja mengandungi penilaian hartanah yang dilambungkan dalam penyata kewangan belum dikonsolidasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, sedangkan mereka mengetahui hartanah itu sepatutnya dinilai pada harga pasaran yang lebih rendah.










