Parit Buntar: Projek bekalan air antara Perak dan Pulau Pinang yang dinantikan sejak sekian lama sudah mengambil kira keperluan bagi kegunaan air kawasan industri baharu yang muncul di daerah Kerian iaitu Kerian Industrial City (KIC).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia susulan KIC adalah perancangan kerajaan negeri sepenuhnya yang lebih terdahulu dari Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan kemudiannya.

"Apabila kita memulakan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kita sudah mengambil kira keperluan KIC dan KIGIP.

"Memenuhi keperluan air di Perak mendahului Pulau Pinang, jadi kita akan pastikan KIC, KIGIP dan juga pengairan pertanian di Perak mencukupi dulu dan kemudian baru kita jual ke Pulau Pinang," katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Pecah Tanah Bagi Pembangunan KIC di Wilayah Dennistown, di sini, hari ini.