KUALA LUMPUR: Gentari Sdn Bhd (Gentari) dan BYD Malaysia Sdn Bhd (BYD Malaysia) menjalin kerjasama strategik bagi memperkenalkan teknologi BYD Flash Charging yang berpotensi membolehkan kenderaan elektrik (EV) memperoleh jarak pemanduan kira-kira 400 kilometer dengan pengecasan serendah lima minit di negara ini.
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Shenzhen, Guangdong, China, bagi mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan EV berkuasa tinggi di Malaysia.
Menerusi kerjasama berkenaan, kedua-dua syarikat akan meneroka pembangunan infrastruktur pengecasan berkuasa tinggi yang turut disokong sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gentari, Sushil Purohit, berkata perkembangan pesat pasaran EV tempatan perlu disokong kemudahan pengecasan yang berkualiti, mudah diakses dan boleh dipercayai.









