Kluang: Pemandu lori tangki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam curam di Kilometer 68, Jalan Yong Peng-Kluang, berhampiran Padang Tembak, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun dikatakan dalam perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Batu 4 menghala ke Bulatan T6.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik dan terbabas ke kiri jalan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu lori tangki parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.









