Kuala Nerus: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan sebagai nadi penggerak pendidikan tinggi negara dalam membantu pelajar untuk merealisasikan impian mereka.
Anugerah Khas Industri PTPTN yang diperkenalkan bagi menghargai kejayaan pelajar yang mencapai kriteria yang ditetapkan mencerminkan komitmen agensi itu dalam memartabatkan pendidikan tinggi di negara ini.
Penerima Anugerah Khas Industri PTPTN sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-24, Nur Hanis Afiqah Adanan, 23, berkata, kemudahan yang disediakan PTPTN membolehkannya membuat pinjaman untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan sarjana muda.
Menurutnya, tanpa PTPTN mungkin hasratnya untuk ke menara gading menemui jalan sukar kerana perlu menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi terutama dalam melunaskan yuran pengajian.









