Chukai: Seekor tapir jantan dewasa seberat kira-kira 250 kilogram yang tersesat di Kelab Golf dan Rekreasi Petronas (KRGP) Kerteh dekat sini berjaya ditangkap dan dipindahkan ke hutan, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, operasi dijalankan empat anggota jabatan itu dari Kemaman selepas menerima maklumat kehadiran haiwan tersebut pada 11 pagi.

"Petugas terlibat memulakan operasi pada 12.30 tengah hari dengan menggunakan dron untuk mengesan kedudukan tapir itu sebelum operasi menangkap dan pemindahan dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ten berkata, pemeriksaan fizikal mendapati tapir spesies Tapirus Indicus dengan panjang keseluruhan 160 sentimeter itu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.