Bentong: Pegawai forensik digital bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi, malah perlu berupaya menjelaskan kaedah analisis, penemuan dan bukti digital bagi membantu pihak pendakwaan serta mahkamah memahami fakta teknikal yang dikemukakan.

Pengarah Bahagian Forensik Teknologi (BFT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, kepentingan meningkatkan kualiti penyiasatan serta kompetensi pegawai dalam memberikan keterangan di mahkamah perlu ditekankan, memandangkan penemuan teknikal dan bukti digital perlu dijelaskan secara tepat, jelas dan mudah difahami.

"Selain itu, sesi perkongsian pengalaman berkaitan prosiding mahkamah, termasuk sesi soal jawab bersama Timbalan Pendakwa Raya (TPR), wajar diperkasakan bagi membantu pegawai forensik membuat persediaan lebih baik ketika memberikan keterangan sebagai saksi," katanya pada Majlis Penutup Bengkel Tahunan Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) bagi Agensi Penguatkuasaan Tahun 2026 di sebuah resort, di sini, hari ini.