Kuala Lumpur: Lima belas stesen pemantauan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara tidak sihat dengan Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 158, setakat 5 petang ini.
Situasi itu juga menunjukkan sedikit perubahan berbanding IPU pada 1 tengah hari tadi, yang merekodkan 16 stesen pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen pemantau lain yang turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat ialah Batu Muda, Kuala Lumpur; Klang, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan dan Johan Setia, yang masing-masing mencatatkan bacaan sama iaitu 157.
Selain itu, stesen di Petaling Jaya, Selangor dan Bandaraya Melaka pula merekodkan bacaan 153, manakala Shah Alam, Selangor; Bukit Rambai, Melaka; Batu Pahat, Johor; Sri Aman, Sarawak dan Tangkak, Johor masing-masing mencatatkan 152.








