KUALA LUMPUR: Sejumlah 27 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan Pasir Gudang, Johor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 198, setakat jam 8 malam ini.

Bacaan itu menunjukkan penurunan berbanding 204 yang direkodkan pada 4 petang tadi, sekali gus menyaksikan perubahan kategori kawasan berkenaan daripada sangat tidak sihat kepada tidak sihat.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen pemantauan lain yang turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat ialah Larkin (196) dan Pengerang, Johor (180); Bandaraya Melaka (179) dan Nilai, Negeri Sembilan (178).

Selain itu, Johan Setia, Selangor (176), Klang (173); Seremban, Negeri Sembilan dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing mencatatkan 172.