Kuala Lumpur: Kebelakangan ini, kemudahan infrastruktur yang tidak mesra golongan orang kurang upaya (OKU) mencuri tumpuan.

Tinjauan Harian Metro di ibu kota mendapati rata-rata premis kurang menyediakan kemudahan yang mesra OKU terutama bagi mereka yang perlu menggunakan kerusi roda.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Azim Zaid, 35, berkata, masih banyak laluan pejalan kaki yang tidak menawarkan kemudahan kepada golongan OKU.

"Walaupun ada kawasan yang sudah menyediakan kemudahan seperti laluan khas, pelaksanaannya masih belum menyeluruh. Masih terdapat laluan yang berlubang, jubin pecah, penutup longkang rosak dan laluan terhalang dengan pelbagai objek.