PETALING JAYA: Pembayaran Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada penerbit filem tempatan meningkat 37.58 peratus kepada RM3.25 juta tahun lalu berbanding RM2.36 juta pada 2024, sekali gus memperluas manfaat inisiatif itu kepada lebih banyak karya tempatan.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, berkata jumlah filem yang menerima manfaat insentif berkenaan turut meningkat daripada 44 judul pada 2024 kepada 50 judul tahun lalu.
Katanya, jumlah pembayaran ITFC meningkat daripada RM2,363,791.41 pada 2024 kepada RM3,252,091.23 pada 2025, iaitu pertambahan sebanyak RM888,299.82.
"Berdasarkan rekod mengikut siri pembayaran ITFC, jumlah insentif meningkat daripada RM2.36 juta pada 2024 kepada RM3.25 juta pada 2025. Pertambahan itu membolehkan lebih banyak filem menerima manfaat," katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2.0 Bilangan 2 Tahun 2026 di Dewan Panca Delima, Menara FINAS, Damansara, di sini, pagi tadi.










