Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengalihkan tumpuan kepada Grand Prix (GP) Australia hujung minggu ini dengan tekad memperbaiki prestasi selepas mengharungi perlumbaan mencabar di Indonesia, baru-baru ini.
Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI berkata, pengalaman di Litar Mandalika memberi banyak pengajaran kepadanya untuk memperkemaskan aksi menjelang perlumbaan seterusnya di Litar Phillip Island minggu ini.
Di Indonesia, pelumba berusia 19 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan dari petak terakhir selepas dikenakan penalti grid.
Bagaimanapun, Hakim Danish mempamerkan kebangkitan memberangsangkan sehingga menghampiri kelompok 10 terbaik sebelum insiden pada penghujung perlumbaan menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat ke-14.










