KUALA LUMPUR: DPMM FC tidak gentar berdepan cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA esok, sebaliknya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah untuk memberi tentangan sengit kepada Harimau Selatan.
Ketua jurulatihnya, Jamie McAllister berkata, beliau menyedari kekuatan JDT yang memiliki rekod cemerlang dalam saingan liga, namun percaya pasukannya mampu memberikan cabaran jika dapat memperkemaskan beberapa kelemahan, terutama di bahagian pertahanan.
Menurutnya, sokongan penyokong sendiri juga penting untuk menyuntik semangat pemain bagi menghadapi pertemuan getir itu.
"JDT pasukan yang hebat. Mereka tidak tewas dalam saingan liga sejak empat tahun lalu. Ini perlawanan pertama separuh akhir dan kami akan bermain di laman sendiri, jadi saya berharap ramai penyokong akan hadir memberikan sokongan," katanya.










