Cyberjaya: Larangan penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze ketika menjalankan tugas rasmi dilaksanakan berikutan kebimbangan terhadap keselamatan data dan kedaulatan maklumat negara.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara,Majlis Keselamatan Negara (MKN), Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin, berkata keputusan itu dibuat susulan pindaan terma penggunaan Waze pada 1 Ogos lalu yang menetapkan penggunaan aplikasi berkenaan tertakluk kepada undang-undang Israel.

Beliau berkata, keputusan itu turut mengambil kira keupayaan aplikasi berkenaan mengumpul pelbagai maklumat pengguna secara terperinci, termasuk data lokasi, pergerakan, perjalanan dan maklumat peranti.

Katanya, data berkenaan berpotensi mendedahkan corak pergerakan serta aktiviti pengguna, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan, khususnya membabitkan penjawat awam.