KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat perisian dan teknologi maklumat didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah RM5.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM403,000, tujuh tahun lalu.
Datuk Seri Liew Kok Leong, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad dan Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Kok Leong yang ketika itu pengarah syarikat ARB Development Sdn Bhd didakwa telah diamanahkan dana syarikat berjumlah RM5.5 juta bagi tujuan pembelian 51 peratus ekuiti, (bersamaan dengan 255,000 unit saham biasa) dalam syarikat C&M Renewable Energy Technology Sdn Bhd.
Bagaimanapun, dia didakwa melakukan pecah amanah terhadap dana itu dengan memindahkan wang ke dalam akaun sebuah firma guaman sebelum dipindahkan ke akaun bank milik Er Yan Shuen, 55, kononnya bagi tujuan pembelian tiga lot kedai pejabat di Tigerlane Square di Ipoh, Perak.









