SHAH ALAM - Bekas pengarah pusat pendidikan di sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bernilai keseluruhan RM3.12 juta pada 2022.Datuk Profesor Muhammad Hussin, 64, yang juga seorang pesara, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin. Mengikut pertuduhan, Muhammad yang merupakan anggota Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan sebagai pengendali program Sarjana Pendidikan melalui Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM1.2 juta dan RM1.92 juta. Dia didakwa mempengaruhi Ahli Lembaga KSBB pada dua sesi mesyuarat berasingan supaya bersetuju melantik QTech Management Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya, sebagai pengendali program berkenaan.Kesalahan itu dilakukan pada 26 Februari dan 25 Jun 2022 masing-masing di Kolej Keris Mas, UKM dan Hotel Tenera, Bangi. Tertuduh didakwa mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum dengan seksyen 24(1) Akta yang sama.Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM300,000 serta syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi pendakwaan. Peguam, Muhammad Wafi Anwar Roslan mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan wang jaminan pada RM50,000 susulan anak guamnya mempunyai tanggungan dua isteri serta sembilan orang anak serta tidak mempunyai pendapatan selain pencen bulanan. "Tertuduh juga menghidap kanser ‘synovial sarcoma’ serta sakit jantung yang memerlukan rawatan berkala. Berkenaan syarat penyerahan pasport saya mohon supaya ia tidak dikenakan kerana isteri kedua dan anak berada di Indonesia," katanya. Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM80,000 selain tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 November. - Bernama