Karak: Syarikat pengendali dan pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menanggung kerugian lebih RM20,000 setahun akibat aktiviti pencerobohan tol yang berterusan.

Pengurus Besar AFA Systems and Services Sdn Bhd Ismaliza Ibrahim berkata pihaknya merekodkan kira-kira 3,000 transaksi pencerobohan setahun atau purata lapan kes sehari.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata syarikat berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangka serta melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu bermula 3 hingga 5 pagi di Plaza Tol Karak bertujuan mengesan, membendung dan mengurangkan kesalahan mengekor rapat serta pencerobohan laluan tol di sepanjang rangkaian lebuh raya berkenaan.