BEIJING: China mengarahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran di Tibet pada Jumaat selepas gempa bumi mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, mencederakan puluhan lagi dan meranapkan ratusan rumah, lapor media kerajaan.
Rakaman video menunjukkan anggota penyelamat menggunakan lampu suluh meredah runtuhan dalam keadaan gelap di lebih 300 rumah yang dilaporkan musnah akibat gempa bumi berukuran magnitud 7 pada petang Khamis, menurut agensi berita Xinhua.
Berdasarkan klip video disiarkan penyiar kerajaan, CCTV, 65 orang dilaporkan cedera, pengunjung kelihatan bergegas keluar dari restoran, selain barangan jatuh dari rak pasar raya ketika gegaran melanda.
Seorang penduduk memberitahu media tempatan bahawa keluarganya baru sahaja berehat bersedia untuk tidur ketika rumah mereka bergegar sehingga menyebabkan barangan terjatuh.








