GEORGETOWN: "Anak bercita-cita mahu ikut jejak langkah kakaknya sebagai jurutera, kini cita-cita itu berkubur bersama jasadnya".

Demikian luahan Mohd Fauzi Din, 58, yang kehilangan anak, Mohamad Nazhif Faris, 22, selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang, di sini awal pagi tadi.

Dalam nahas sekitar jam 4 pagi itu, Mohamad Nazhif bersama rakannya, Daniesha Hana Mohamad Hairul, 20, maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan yang kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian.

Mohd Fauzi yang ditemui di luar Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini., berkata anak kelima daripada enam beradik itu penuntut Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI), Kulim dan tinggal di asrama.