Kuala Lumpur: Lonjakan sembilan anak tangga ke ranking keenam dunia menyuntik semangat Datuk Azizulhasni Awang untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sekali gus memberi petanda positif terhadap usahanya kembali bersaing di pentas tertinggi.
Menerusi kemas kini terbaharu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), jaguh berbasikal trek negara itu memperbaiki kedudukan daripada tangga ke-15 kepada keenam selepas mengharungi Kejohanan Dunia di Shanghai, China, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, kedudukan Malaysia dalam ranking negara bagi acara berkenaan turut meningkat dua anak tangga daripada ke-11 kepada kesembilan dunia.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Azizulhasni menegaskan peningkatan itu baru permulaan dalam usahanya kembali berada dalam kelompok terbaik dunia selepas kembali beraksi susulan persaraan sebelum ini.









