KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies menegaskan tindakan undang-undang yang diambil terhadap tiga individu yang didakwa memfitnah dirinya dilakukan mengikut tempoh munasabah dan bukannya sengaja mahu membangkitkan isu.
Ruhainies, 34, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia tidak sepatutnya membuang atau melengah-lengahkan masa bagi membela dirinya.
"Saya ada nampak di Threads, orang kata saya sengaja membangkitkan isu. Isu fitnah ini timbul, takkan saya nak kena tunggu garis masa orang lain pula? Takkan disebabkan orang lain ada sesuatu acara, saya kena tunggu minggu depan atau tahun depan?
"Itu tidak adil untuk saya. Saya kena fikir untuk diri sendiri juga, siapa yang nak bantu saya?" katanya kepada Harian Metro.






