KUALA LUMPUR: Seorang pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak 5 tahun, Sabtu lalu.

Tertuduh, Haur Raeven Gowyha, 24, membuat pengakuan itu selepas kesemua tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai pemandu kereta elektrik jenis BYD Seal didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara 5 hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu.