KUALA LUMPUR: Pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket pementasan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai tahun depan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh produksi, meningkatkan kebajikan penggiat seni serta memperluas akses masyarakat terhadap seni persembahan.

Timbalan Presiden Persatuan Teater Malaysia (PTM), Mohamad Letfee Ahmad, berkata inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu disambut baik kerana berupaya mengurangkan kos pementasan, memperkukuh kelangsungan kumpulan teater dan membuka lebih banyak peluang kepada karya tempatan untuk dipersembahkan.

Beliau berkata, pengecualian berkenaan bukan sekadar memberi kelegaan dari segi kewangan, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan teater dalam pendidikan, pembinaan jati diri, pemeliharaan warisan budaya dan pengukuhan perpaduan masyarakat.