PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melangkah ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut selepas membenam pasangan Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, hari ini.
Gandingan yang menghuni ranking ke-31 dunia itu diheret sehingga ke rubber set sebelum berhasil menundukkan pasangan No. 27 dunia itu 21-17, 20-22, 21-18 dalam masa 57 minit.
Pada separuh akhir, esok, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan beregu No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China.
Ini merupakan kemaraan kedua berturut-turut Pang Ron-Pei Jing ke separuh akhir, selepas berjaya berbuat demikian pada Terbuka Denmark, minggu lalu, yang menyaksikan mereka tewas di tangan beregu No. 1 dunia, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping.









