Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 65 ekor kambing dipercayai diseludup dari Thailand menerusi Sungai Golok di Pangkalan Haram, dalam operasi di Kampung Kok Bedullah, Tumpat awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira 1 pagi itu, PGA turut menyita sebuah lori jenis Isuzu berwarna merah, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM138,750.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, dua lelaki masing-masing berumur 22 dan 28 tahun yang menaiki lori berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa puluhan ekor kambing, namun pemandu gagal mengemukakan kebenaran bertulis dan sijil kesihatan veterinar yang diperlukan bagi pemindahan ternakan.










