Balik Pulau: Polis menahan seorang penunggang motosikal yang disyaki menghalang laluan sebuah ambulans yang sedang dalam perjalanan menjalankan tugas kecemasan di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Tiram, di sini.
Penahanan lelaki berkenaan dibuat susulan tular satu video berdurasi 44 saat yang dimuat naik di akaun TikTok memaparkan tindakan penunggang terbabit.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya mengesahkan penerimaan video berkenaan sebelum suspek ditahan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.










