Kuala Lumpur : Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa syarikatnya, Nunha, menawarkan tiket wayang sebagai ganti bayaran balik (refund) kepada pembeli susulan pembatalan sebuah acara keagamaan yang dijadualkan berlangsung esok.

PU Riz menegaskan, pihak syarikat sentiasa komited dalam menyelesaikan sebarang aduan pelanggan, termasuk memproses bayaran balik secara telus dan bertanggungjawab mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau menyifatkan dakwaan liar berkenaan amat dikesali kerana berpotensi mencemarkan reputasi syarikat serta jenama Nunha.

"Pertama sekali, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tiket wayang ditawarkan sebagai ganti bayaran balik. Dakwaan sedemikian amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat tanpa mengambil kira fakta serta penjelasan daripada pihak kami," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.