KOTA BHARU - Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan berhubung pembahagian kerusi perlu diserahkan kepada pimpinan gabungan berkenaan dan diterima semua parti komponennya."Sebagai sebahagian daripada anggota PN, kita serahkan kepada Pengerusi. Manakala Pengerusi PN memberi mandat kepada Setiausaha Agung yang menguruskan perbincangan berhubung kerusi."Jangan ada banyak suara. Apa yang diputuskan, kita terima. Berapa bilangan kerusi yang kita dapat, tunggu pengumuman Setiausaha Agung PN nanti," katanya semasa sidang media pada Jumaat.Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah memuktamadkan rundingan dengan Pas bagi PRN Melaka.Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas dan rakan gabungannya akan bertanding di tujuh kerusi.Sementara itu, mengulas penggunaan logo pada PRN Melaka, Hamzah berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk menggunakan lambang PN."Kalau boleh kita mahu guna lambang PN. Sebab itu bila kita dapat surat daripada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia), kita terus bawa isu ini ke mahkamah."Ini menunjukkan kita yakin PN adalah lambang kepada kita semua sebagai parti anggota dalam PN. Namun ia masih dalam perbincangan bagi memastikan mana yang terbaik," katanya.