Kuala Lumpur: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menghargai penyumbang Tabung PPUMCare atas sokongan dan kepercayaan dalam membantu pesakit yang berhadapan dengan kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan.

Ia dizahirkan menerusi Majlis Penghargaan Penyumbang PPUMCare 2026 yang menghimpunkan penyumbang daripada sektor korporat, organisasi dan individu, bersama barisan pengurusan PPUM serta pihak terbabit pengurusan bantuan pesakit.

Majlis berkenaan turut mengiktiraf kerjasama antara pihak hospital dan masyarakat dalam meringankan beban pesakit serta keluarga, di samping memastikan mereka berpeluang meneruskan rawatan yang diperlukan.

Turut menerima penghargaan adalah Tabung Kemanusiaan Media Prima - NSTP, antara organisasi yang menjalinkan usaha sama bersama PPUM untuk membantu pesakit menerima rawatan.