Paris: Juara maraton dunia, Peres Jepchirchir digantung sementara selepas sampel ujian doping di luar pertandingan pelari Kenya itu didapati positif bahan terlarang EPO, umum Unit Integriti Olahraga (AIU), hari ini.

Peres, 33, yang meraih pingat emas Olimpik pada temasya Tokyo 2020 yang berlangsung pada 2021 akibat pandemik Covid-19, kini berdepan siasatan berhubung dakwaan penggunaan bahan yang meningkatkan penghasilan sel darah merah.

Penggantungan sementara dikenakan ketika kes berkenaan disiasat dan tidak bermakna pelari itu sudah disahkan bersalah atas pelanggaran peraturan antidoping.

Menurut AIU, sampel berkenaan diambil di Kenya sebelum Peres meraih kemenangan pada Maraton Sydney baru-baru ini.