Kuala Terengganu: Taman eko rimba, laluan pendakian dan aktiviti rekreasi di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah pentadbiran Jabatan Perhutanari Terengganu akan ditutup sementara kepada orang ramai mulai 1 Nov.

Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu Ramli Mat berkata langkah itu bagi mengelak risiko kepala air dan kejadian tidak diingini susulan Monsun Timur Laut (MTL).

"Kawasan ini akan ditutup sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan terlibat dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak daripada dikenakan tindakan di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986.